OGOS 2021

Sambut Maal Hijrah Dengan Penuh Kesederhanaan Dan Kesyukuran


KUCHNG: Sambutan Maal Hijrah 2021/1443H diraikan dengan penuh kesederhanaan namun disambut dengan penuh kesyukuran bagi mengingati sejarah besar umat Islam khususnya di Sarawak ini.

Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut hadir bagi menyemarakkan sambutan Maal Hijrah yang bertemakan “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”.

Sambutan tahun baharu hijrah ini memberi pengertian yang amat besar di mana penghijrahan Nabi Muhammad dan kaum muslimin berhijrah dari Kota Makkah Ke Kota Madinah.

Sementara itu, Ketua Menteri dalam ucapannya menyeru semua rakyat Sarawak khususnya masyarakat Islam berganding bahu bersama kerajaan untuk meningkatkan kehidupan.

“Di sini saya menyeru masyarakat Islam akan terus berusaha untuk menggunakan apa sahaja yang telah didasarkan kerajaan dan sama-sama berdoa agar di tahun baharu ini kita berhijrah melalui pendekatan yang berhemah dalam kita meningkatkan keadaan hidup kita,” katanya semasa berucap sempena Sambutan Maal Hijrah 1443H Peringkat Negeri Sarawak pada malam Isnin.

Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekan bahawa pendekatan kerajaan Sarawak akan terus membangunkan ekonomi yang berteraskan kepada sumber yang dimiliki di negeri ini.

“Melahirkan anak-anak Sarawak yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam ilmu yang boleh ditingkatkan.

“Kita juga mempunyai ekonomi di mana hasilnya akan eksport dan dikeluarkan ke pasaran terbuka.

“Kesemua pendekatan itu adalah berasaskan kepada pengajaran Islam iaitu ilmu dan seterusnya berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda (Hal Ehwal Islam Dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Misnu Taha dan Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS